SAO PAULO – Ikon bola sepak Brazil, Pele yang dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan pemenang Piala Dunia tiga kali meninggal dunia semalam.
Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 82 tahun di Hospital Albert Einstein.
Anak perempuan mendiang, Kely Nascimento mengucapkan terima kasih kepada ucapan takziah daripada semua pihak kepada keluarganya.
“Kami menyayangi anda (Pele) tidak terhingga. Berehatlah dengan tenang,” tulisnya dalam status Instagram hari ini.
Dalam pada itu Daily Mail melaporkan jasad Pele di bawa ke tempat kelahiran asal beliau di Santos untuk upacara pengebumian.
Jasad Pele dilaporkan akan diletakkan untuk penghormatan terakhir oleh orang awam dan orang kenamaan bermula Isnin ini di Estádio Urbano Caldeira di Vila Belmiro bermula pukul 10 pagi sehingga 3 Januari 2023.
Hospital Albert Einstein dalam satu kenyataan berkata, Pele sekian lama bertarung dengan penyakit kanser dan meninggal dunia akibat ‘kegagalan pelbagai organ.’
Dinobat sebagai atlet abad oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 1999, Pele satu-satunya pemain bola sepak dalam sejarah yang memenangi tiga Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970.
Digelar sebagai O Rei (Raja), dia menjaringkan lebih 1,000 gol dalam kerjayanya yang paling terkenal sebelum bersara pada 1977.
Kesihatan Pele semakin merosot selepas dia bertarung dengan masalah buah pinggang serta kanser kolon dan menjalani pembedahan terakhir pada September 2021 diikuti dengan kemoterapi.
Antara selebriti bola sepak masa kini yang berkongsi kesedihan dan meratapi pemergian legenda bola sepak itu adalah Cristiano Ronaldo.
Ronaldo dalam kenyataannya menyifatkan Pele menjadi inspirasi kepada jutaan orang di dunia ini dan merupakan raja terulung bola sepak yang tidak boleh digantikan sesiapa.
“Sekadar selamat tinggal kepada Raja Pele tidak akan pernah cukup untuk meluahkan ‘kesakitan’ yang kini melanda seluruh dunia bola sepak.
“Dia adalah inspirasi untuk jutaan orang, rujukan untuk selamanya. Kasih sayang yang selalu dia tunjukkan kepada saya akan terus diingati walaupun dari jauh.
“Dia tidak akan dilupakan dan ingatannya akan kekal selama-lamanya dalam diri setiap pencinta bola sepak. Rehatlah dengan tenang, Raja Pele,” ujar bintang Portugal itu.- Agensi