Datuk Dr. Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Sebuah premis bengkel yang kotor sehingga boleh menyebabkan nyamuk aedes membiak dikenakan tindakan oleh mahkamah semalam dan menjadi kes pertama didakwa di Pahang.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap pengusaha bengkel selepas mengaku bersalah, kata Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus.

Menurutnya, tindakan diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Pada mulanya amaran diberikan dalam tempoh seminggu untuk membersihkan kawasan premis namun pengusaha bengkel tersebut tidak mengendahkan lalu Jabatan Kesihatan mengeluarkan notis.

“Tertuduh kemudian telah membayar kesemua denda tersebut. Diharapkan dengan hukuman yang dikenakan dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada pemilik premis bengkel yang lain bagi kepentingan kesihatan orang awam.

“Kes di bawah perundangan kesihatan awam ini telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Inspektorat dan Perundangan PKD Kuantan, Hasnirul Izzat Hassan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kes tersebut, pengusaha bengkel mengaku bersalah atas tuduhan tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh pegawai diberikuasa bagi mengambil langkah-langkah pembersihan ke atas premisnya supaya keadaan di dalamnya tidak sesuai untuk pembiakan nyamuk aedes.

Mengikut pertuduhan, pemilik premis yg terletak di Kuantan itu didapati melakukan kesalahan tersebut pada pukul 10.30 pagi pada 21 Julai 2022 lalu kerana tidak mematuhi arahan yang diperintahkan dalam Notis Seksyen Kementerian Kesihatan Malaysia Jabatan Kesihatan Negeri Pahang  yang dikeluarkan pada 14 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8(1) dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(8) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan didenda mengikut Seksyen 23 (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau dipenjara selama suatu tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulan lanjut, Dr. Nor Azimi berkata,  mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan berkenaan selepas pengakuan bersalah dibuat.

Dalam pada itu, seorang wanita dan seorang lelaki dikenakan denda masing-masing RM300 atas kesalahan gagal mematuhi Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan).

Kedua-duanya atas kesalahan yang sama iaitu gagal mengimbas MySejahtera semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette