KUALA LUMPUR – Tarikh akhir tuntutan Skim Khairat Kematian oleh waris penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) 2022 dilanjutkan sehingga 31 Januari depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam laman Facebook rasminya, hari ini.
“Tuntutan boleh dilakukan di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berdekatan,” jelasnya.
Selain itu, penunaian bayaran BKM di cawangan-cawangan BSN turut dilanjutkan sehingga 31 Januari.
Langkah itu adalah untuk pemohon yang tiada maklumat akaun bank atau status pengkreditan Gagal Kredit dan / atau individu yang meninggal dunia dan menepati syarat kelayakan Skim Khairat Kematian.
Semakan status Pembayaran BKM 2022 boleh dilakukan dengan cara log masuk MyBKM, kemudian klik Semakan Status dan seterusnya Maklumat Bayaran.
Maklumat lanjut boleh didapatkan dari portal rasmi BKM di https://bkm.hasil.gov.my. – MalaysiaGazette