BAYAN LEPAS – Tindakan seorang operator kilang bergurau kononnya membawa bom dalam begnya mengundang padah.
Beliau kemudiannya ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita warga asing berusia 33 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang.
“Hasil siasatan mendapati wanita yang bekerja di sebuah kilang di Perak itu dijadualkan menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia pada pukul 5.30 petang bersama dua lagi rakannya.
“Bagaimanapun, ketika pihak berkuasa melakukan pemeriksaan barang kaunter daftar masuk LTAPP, wanita itu dengan lantang menyebut ada bom dalam begnya.
“Wanita yang bekerja di sebuah kilang di Ipoh, Perak itu berada bersama dua rakannya ketika kejadian dan mereka dijadualkan menaiki penerbangan ke Medan,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Tambah Kamarul Rizal, wanita itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – MalaysiaGazette