Khairil Nizam Khirudin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya mengambil iktibar penularan wabak Covid-19 pada tahun 2020 apabila tidak melakukan langkah pencegahan dengan menghalang kemasukan pelancong dari negara China.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir. Ts. Khairil Nizam Khairudin berkata, jangkaan kira-kira 300,000 pelancong dari China yang akan berkunjung ke Malaysia pada tahun depan adalah membimbangkan.

“Kerajaan perlu ambil tindakan tegas bagi menyekat kemasukan pelancong China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda. Ambil iktibar dari kesilapan PH pada dua tahun lalu. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali,” kata Ahli Parlimen Jerantut itu dalam kenyataan hari ini.

Khairil Nizam menyarankan agar kerajaan meneliti perkembangan negara lain yang menerima kemasukan pelancong dari China.

Katanya, kerajaan perlu berwaspada dengan penularan kes baharu Covid-19 selepas China membenarkan rakyatnya keluar negara ketika kes melonjak sehingga 62,439 kes dalam tempoh seminggu.

“Bagi pelancong yang telah berada di negara ini mereka perlu dikenalpasti dan diperiksa tentang status Covid-19.

“Sementara itu, rakyat juga dinasihatkan untuk kekal menjaga Prosedur Operasi standard dengan menitikberatkan penggunaan pelitup muka dan tidak berada di kawasan yang sesak,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa bahawa semua pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu untuk demam.

Pengumuman itu dibuat susulan berlaku kebimbangan mengenai lonjakan kes Covid-19 di China.

Menurut Zaliha, pada masa sama, mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari selepas ketibaan, akan dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen, dan sampel akan dihantar untuk ujian genom jika positif Covid-19.

Ini juga terpakai kepada mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan individu yang pergi ke China dalam tempoh 14 hari, atau menunjukkan penyakit seperti influenza (ILI) atau jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).

Zaliha berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada peningkatan pengawasan Malaysia untuk Covid-19 dalam komuniti, dan pemantauan untuk varian baharu.

Sebelum itu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Malaysia akan menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan berikutan pembukaan semula sempadan China pada 8 Januari ini iaitu tiga tahun selepas permulaan wabak itu.- MalaysiaGazette