guru penerbangan
Bangunan Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) menjalin kerjasama dalam menangani masalah keciciran pembelajaran di negara ini.

MoF dan KPM dalam satu kenyataan bersama berkata, ia dilaksanakan menerusi program pemulihan pembelajaran bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Program itu katanya, akan disertai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Program yang akan diluncurkan Jumaat, 27 September 2024 adalah seiring dengan pendekatan keseluruhan negara atau “whole-of-nation” yang diiltizamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dijayakan dengan kerjasama Yayasan Hasanah, program itu memberi tumpuan terhadap meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah serta meningkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia juga akan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih meluas untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia.

Katanya, ia bakal dilaksanakan melalui penyelarasan dengan agenda pendidikan global seperti Matlamat Pembangunan Lestari 4 (Pendidikan Berkualiti) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG4) dan konsep Malaysia Madani yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan kreativiti.

Berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan (LP), pada tahun 2023, daripada 395,870 calon yang berdaftar, 10,160 atau 2.65 peratus tidak hadir untuk peperiksaan ini.

Daripada jumlah pelajar yang menduduki pada tahun yang sama, 6.5 peratus daripada jumlah calon, bersamaan dengan 25,735 pelajar tidak layak menerima sijil SPM mereka.

“KPM pada waktu ini sedang giat melaksanakan inisiatif reformasi pendidikan yang antara lain bertujuan untuk menangani isu keciciran pembelajaran.

Ini dilaksanakan menerusi enam hala tuju utama termasuk penyelarasan semula sistem prasekolah dan intervensi kurikulum,” katanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendidikan ialah asas kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset kepada kemakmuran ekonomi negara.

Katanya, memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia adalah kritikal untuk memperkasakan belia dan memastikan penyertaan produktif dalam tenaga kerja.

“Kerajaan komited membina masyarakat yang berdaya saing dan berpengetahuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Pendidikan yang baik dapat membina generasi yang mempunyai keperibadian baik dan kemahiran intelektual yang amat diperlukan untuk memacu ekonomi yang mampan seperti yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani.

“Melalui peningkatan pendidikan, rakyat mampu keluar dari kemelut kemiskinan sekali gus mengangkat lantai ekonomi keluarga bagi jangka masa panjang sejajar hasrat Kerajaan Malaysia dalam usaha pembasmian kemiskinan di negara ini,” katanya.

Gabungan kedua-dua kementerian juga menyatukan organisasi korporat, pertubuhan masyarakat, universiti awam, syarikat berkaitan kerajaan, serta organisasi antarabangsa, yang sama-sama berganding bahu mengikut kepakaran dan pengkhususan masing-masing untuk menangani keciciran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.

Program pemulihan pembelajaran yang akan dilaksanakan merangkumi intervensi yang disasarkan termasuk kelas pemulihan, latihan guru dan alat pembelajaran digital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast