Rakaman dron MalaysiaGazette menunjukkan Sungai Wias tercemar dan ia dipercayai mengalir dari beberapa cabang hulu sungai utama iaitu termasuk Sungai Menintei, Sungai Rela dan Sungai Kaloi di Gua Musang, Kelantan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 DISEMBER 2022.

GUA MUSANG – Dakwaan penduduk mengenai kebimbangan warna ‘teh tarik’ serta bau hanyir di Sungai Menintei yang disiarkan secara eksklusif MalaysiaGazette baru-baru ini dinafikan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam satu kenyataan media semalam yang memaklumkan hasil sampel air di sungai tersebut adalah bersih.

“Bacaan kualiti air yang dilakukan pegawai JAS di Sungai Menintei itu semalam (kelmarin) menunjukkan bacaan konduktiviti (59 μS/cm), saliniti (0.03), oksigen terlarut (96.7 %) dan tahap keasidan atau pH 7.7,” katanya.

Jelasnya, ia membuktikan sungai tersebut dalam Kelas I berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan Malaysia iaitu keadaan air sungai yang bersih.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan kenyataan Pengerusi Wilayah Tanah Adat Kampung Kuala Wias dan Kampung Wok, Jimi Angah yang mendakwa pegawai JAS memberitahu tiada masa ketika diminta Jimi untuk membuat pensampelan air.

Wan Abdul Latiff berkata, kenyataan tersebut adalah daripada jururunding Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) iaitu wakil I.Z Environment Sdn. Bhd. yang hadir ke kampung berkenaan bagi melakukan kajian impak sosial dan bukan pegawai JAS.

Malah beliau turut menepis dakwaan Jimi yang memaklumkan telah meminta pihak yang dipercayainya sebagai pegawai JAS itu untuk mengambil sampel air apabila hasil semakan mengesahkan tiada permohonan dilakukan.

Mustafa Along

Bagaimanapun, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli (JKOAK), Mustafa Along berkata, JAS sepatutnya lebih bijak menangani sebarang permasalahan yang disuarakan Orang Asli dengan tidak bertindak seperti menuding jari terhadap komunitinya.

“Tidak perlu buat kesimpulan mengatakan tiada sebarang permohonan ambil sampel air. Bagi saya, mereka itu pihak bertanggungjawab. Apabila mereka telah nampak aduan tular di Facebook dan laporan pendedahan Malaysia Gazette sepatutnya lakukanlah siasatan terperinci termasuk Sungai Wias.

“Sebelum ini, surat yang kami hantar pun tidak pernah dilayan. Saya boleh tunjukkan salinan laporan serta nombor rujukan surat itu beberapa tahun dulu mengenai beberapa pencemaran sungai di kampung ini, tapi bukan kita mahu berbalah. Saya juga faham kesibukan mereka, mungkin terlepas pandang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini, JAS masih belum melakukan sebarang kenyataan mengenai Sungai Wias yang menjadi isu utama apabila ‘air hitam’ di sungai tersebut dipercayai akibat aktiviti perlombongan emas – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast