Salahuddin bersama Thiam Wah ketika bertemu untuk berbincang mengenai Bakul Rahmah.-Foto FB Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub akan berbincang dengan pemain industri peruncitan untuk menjayakan program Bakul Rahmah (kasih sayang).

Program terbaharu kementerian itu adalah bagi membantu masyarakat yang paling memerlukan iaitu golongan B40.

Salahuddin dalam satu perkongsian di media sosial berkata, beliau telah memulakan langkah tersebut dengan mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speadmart, Lee Thiam Wah.

Salahuddin akan bertemu dengan lebih ramai pemain industri yang lain bagi membantu menjayakan program berkenaan.

“Saya akan susuli pertemuan dengan beberapa lagi pemain-pemain industri seperti Giant, NSK dan lain-lain selepas ini.

“Semoga segala usaha dan kerjasama ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan ekonomi dunia yang agar mencabar ketika ini,” katanya.

Menurut Salahuddin, kerajaan mempunyai rancangan jangka pendek dan jangka panjang dalam dalam membantu rakyat menghadapi isu kos sara hidup.

Program Bakul Rahmah merupakan program yang boleh dilakukan dengan segera dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

“Semestinya kerajaan telah menetapkan beberapa pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam mengendalikan isu kos sara hidup.

“Tetapi pada saya, mana yang kita boleh lakukan dahulu, kita jalan dahulu,” tegasnya.

Isu kos sara hidup antara portfolio yang disandang Salahuddin.

Pada 5 Disember lalu, Salahuddin berkata, kementerian akan segera menggerakkan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi mencari penyelesaian masalah kos sara hidup yang membelenggu rakyat.

Pada 22 Disember lalu, satu sekretariat tetap bagi menangani isu kos sara hidup diwujudkan antara KPDN dengan Kementerian Ekonomi.

Salahuddin berkata, menerusi sekretariat itu satu pelan tindakan komprehensif akan dihasilkan merangkumi pelan jangka pendek dan panjang bagi menangani isu berkenaan.

“KPDN sedar untuk usaha meningkatkan kos sara hidup ini, kita tidak boleh bekerja bersendirian, kerana isu kos sara hidup adalah agenda nasional.

“Jadi, kita bersetuju mewujudkan sekretariat tetap dua kementerian ini, yang akan pada bila-bila masa mengadakan mesyuarat, pertemuan, libat urus, seminar, bengkel dan seumpamanya supaya dapat bergerak ke depan dengan lebih efisien,” katanya.-MalaysiaGazette