Sungai Wias dengan keadaan 'air hitam' terpaksa diambil penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Wias, Gua Musang, Kelantan dalam meneruskan kehidupan setelah tiada sumber air lain yang boleh didapati ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 DISEMBER 2022

GUA MUSANG – Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mencadangkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengambil sampel air Sungai Menintei yang dipercayai tercemar secara berkala.

Pengerusi JKOAK, Mustafa Along berkata, dakwaan sungai itu bersih hanya dengan menggunakan satu sampel air sahaja  menimbulkan keraguan dan boleh dipersoalkan.

“Bagaimana JAS mengambil sampel air itu? Sepatutnya mereka ambil sampel ketika cuaca kering, ketika hujan dan selepas hujan agar kualiti air yang sebenar diketahui,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Mustafa, keraguan itu timbul memandangkan hulu sungai tersebut telah diteroka dengan ladang getah sekali gus menjejaskan kualiti air Sungai Menintei terutama selepas hujan.

Mustafa Along

“Hulu Sungai Menintei telah diteroka dengan banyak ladang getah. Jadi, kalau sampel diambil ketika cuaca kering, saya percaya sungai itu mungkin masih bersih.

“Namun, bayangkan ketika hujan. Mustahil ladang getah yang seluas itu tidak menggunakan racun rumpai untuk membersihkan ladang dan air itu mengalir ke sungai,” ujarnya.

Mustafa berkata, melalui gambar dalam kenyataan media JAS yang menafikan wujud pencemaran di Sungai Menentei, beliau percaya sampel yang diambil pada 29 Disember itu adalah ketika cuaca kering.

“Ketika itu, tidak silap saya hari tak hujan. Saya yakin hari tak hujan sekitar masa itu sebab kalau hujan, air berkeladak. Namun, dalam gambar itu nampak air agak jernih, beza bila hujan air akan berkeladak serta berwarna gelap dan itulah air yang kami guna,” ulasnya.

Gambar yang dikepilkan dalam kenyataan media JAS ketika melakukan persampelan ‘in situ’ di tandak air Sungai Menintei di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Mustafa turut mencadangan JAS agar melibatkan komuniti setempat ketika sampel air diambil supaya penduduk mendapat pencerahan sewajarnya selain menjadi bukti gerak kerja yang dibuat jabatan berkenaan.

Rentetan JAS memaklumkan air sungai itu dalam keadaan bersih, Mustafa akan meminta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang berkemahiran dalam ujian pensampelan air memeriksa secara berkala termasuk selepas hujan.

Bagaimanapun, beliau hairan mengenai Sungai Wias yang menjadi tajuk utama berita kerana ‘air hitam’ tetapi juga seakan-akan tidak diendahkan JAS.

“Apabila ada pendedahan (laporan MalaysiaGazette) sedemikian rupa, sepatutnya mereka tak perlu lagi tunggu aduan rasmi dari masyarakat setempat.

“Bagi beberapa sungai lain, memang sudah buat aduan. Tapi untuk Sungai Wias kita hanya siarkan video di Facebook kerana sekarang zaman viral. Kaedah viral itu lebih berkesan,” ulasnya.

Surat yang dicop oleh Pejabat Menteri Besar Kelantan sebagai tanda telah menerima aduan pembalakan yang boleh menjejaskan sungai di penempatan Orang Asli.
Antara senarai teratas dalam salinan kepada (s.k) adalah JAS Kelantan.

Mustafa turut menunjukkan beberapa salinan laporan rasmi dibuat bertahun-tahun lalu dengan mengepilkan salinan kepada JAS namun tiada tindakan tuntas.

“Surat sebelum ini mengenai pembalakan yang merosakkan sungai turut dipandang sepi. Kami letih, rasa tak berguna lagi laporan rasmi kerana tiada hasil.

“Kalau JAS mahu datang ambil sampel, boleh hubungi saya. Kita aturkan waktu dan saya akan bawa ke tempat yang didakwa hasil takungan aktiviti melombong emas itu dilepaskan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

JAS nafi dakwaan abai aduan sungai tercemar di Gua Musang

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast