Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang memeriksa lesen memandu penunggang motosikal dalam Op Khas di Tanjung Lumpur, malam tadi

KUANTAN – Sebanyak 480 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dan empat buah kenderaan disita dalam tempoh enam jam pelaksanaan Ops Khas Ambang Tahun 2023 di Pahang, malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, pihaknya mengemukakan 402 saman JPJ (P) 22 dan 78 notis kepada pesalah trafik.

“Sebanyak 2,692 kenderaan telah diperiksa dalam Ops Khas di mana 1,773 adalah motokar dan 770 lagi motosikal.

“Manakala 285 kenderaan diambil tindakan selanjutnya dan JPJ turut menyita dua buah motokar serta dua buat motosikal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, menerusi operasi berkenaan seramai 118 pesalah trafik dikesan melakukan kesalahan teknikal, 110 pula tiada lesen memandu dan 82 lagi cukai jalan tamat tempoh.

Tambah Kamarul Iskandar, operasi tersebut mensasarkan empat zon membabitkan daerah Kuantan, Temerloh, Bentong dan Rompin.

Seramai 77 pegawai dan anggota pelbagai agensi berkolaborasi bersama JPJ melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai operasi itu. – MalaysiaGazette