Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som.

SHAH ALAM – Pembubaran Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF – National Task Force) yang melaksanakan Operasi Benteng sejak 20 Mei 2020 tidak bermakna kawalan di perairan negara akan longgar.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, tahap kesiapsiagaan dan pemantauan ketat di sempadan terutama perairan negara sentiasa dipertingkatkan.

Katanya, NTF diwujudkan dengan keanggotaan 18 agensi keselematan dengan dikawal selia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membendung pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika penularan Covid-19 di negara ini.

“Maka NTF melalui pelaksanaan Operasi Benteng telah berupaya dan berjaya menyekat kemasukan PATI dengan lebih ketat melibatkan gabungan 18 agensi keselamatan menerusi Op Benteng selama ini.

“Namun, dengan pembubaran NTF selepas dua tahun tujuh bulan dan 25 hari, tidak bermakna sempadan perairan negara akan menjadi longgar atau mudah dibolosi PATI selepas ini,” kata ketika dihubungi, hari ini.

Pada 28 Disember lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengumumkan pembubaran NTF berkuatkuasa pada 31 Disember 2022.

Pembubaran itu dilaksanakan berdasarkan arahan Majlis Persidangan Majlis Keselamatan Negara di bawah Akta 342.

Tambah beliau, secara umum tahap kesiapsiagaan aset-aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum, semasa dan selepas Covid-19 tidak berubah dengan penempatan serta bilangan aset yang digerakkan setiap hari bagi menjamin keselamatan negara.

Katanya, keberadaan aset telah ditetapkan mengikut petunjuk prestasi utama (KPl), dengan bilangan minimum sebanyak 45 buah aset harian beroperasi di perairan negara.

“Pada ketika ini Maritim Malaysia berjaya menugaskan aset miliknya melebihi dari KPI tahunan yang telah ditetapkan bagi menjamin ketenteraman dan kesejahteraan negara sentiasa terkawal dan dilindungi,” jelasnya.

Antara operasi yang dilaksanakan agensi tersebut membabitkan Op Khas Naga, Op Khas Kuda Laut, Op Tanjung, Op Raja Laut, Op Jangkar Haram dan Op Pelantar Merah di perairan negara.

Menurut Mohd Zubil, untuk memastikan kedaulatan perairan negara terpelihara, Maritim Malaysia telah mempertingkatkan operasi bersama dan bersepadu dengan pelbagai agensi lain dalam dan luar negara.

“Selain itu kami juga kini terlibat dalam usaha untuk menaik taraf sistem sedia ada seperti Sistem Pengawasan Maritim Laut (Swasla) agar lebih ke hadapan dari segi teknologi dan perkembangan dunia digital yang pesat.

“Dalam memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi, kita akan memfokuskan ke arah Pelan Strategik 2040 dari segi pembangunan prasarana, fasiliti, penambahan dan penggantian aset laut serta udara selain penambahan keanggotaan bagi mencapai matlamat Pelan Strategik 2040,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast