Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman bercakap kepada media semasa operasi khas malam ambang tahun baharu 2023 ketika di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis masih menjalankan siasatan bagi memastikan ketulenan video tular memaparkan sepasang individu dipercayai warga Rusia yang dikatakan menceroboh Menara Merdeka 118, di sini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya akan merujuk video berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kerjasama turut dilakukan dengan Jabatan Imigresen bagi mengetahui rekod kemasukan pasangan berkenaan ke negara ini.

“Kita sedang bekerjasama dengan SKMM mengenai kesahihan dan ketulenan rakaman video yang ditularkan menerusi laman web ‘Sky Scraper City Forum.

“Kita juga sedang dapatkan pengesahan daripada Imigresen berhubung rekod keluar masuk suspek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di lokasi Op Khas Malam Ambang Tahun Baru 2023, di Jalan Loke Yew, di sini awal pagi tadi.

Yahaya berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan daripada pihak pengurusan menara berkenaan selepas video terbabit tular.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan klip video dan gambar yang dimuat naik pasangan berkenaan telah disunting secara digital.

“Berdasarkan siasatan awal, pihak pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyatakan bahawa sistem kawalan ketat yang dibuat di seluruh kawasan menara itu menyukarkan pihak tidak berkenaan untuk masuk, sekali gus memanjat menara berkenaan.

“Apa pun pihak polis harus menunggu hasil dari siasatan yang dibuat selepas merujuk kepada SKMM dan Imigresen,” ujar beliau.

Rabu lalu, media melaporkan polis sedang mengesan sepasang pasangan, dipercayai warga Rusia, kerana disyaki telah menceroboh Menara Merdeka 118 dan memanjat puncak pencakar langit berkenaan.

Sebelum itu, pasangan yang terkenal dengan aksi memanjat bangunan itu menjadi bualan warga tempatan selepas gambar mereka berdua di puncak menara berkenaan dimuat naik pada forum dalam talian.

Forum dalam talian yang dikenali sebagai Skyscrapper City itu merupakan sebuah komuniti yang mengumpulkan pencinta pencakar langit, perancangan bandar dan struktur bangunan dari serata dunia.

Salah seorang daripada pasangan tersebut turut berkongsi gambar dalam satu hantaran di Instagram sambil memberitahu berjaya menawan menara kedua tertinggi di dunia berkenaan selepas berjam-jam mendaki sambil mengelak dikesan kamera litar tertutup dan pasukan keselamatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast