PARIS – Perancis menggesa semua negara Kesatuan Eropah (EU) untuk menjalankan saringan Covid-19 ke atas penumpang yang tiba dari China.
Langkah itu susulan lonjakan kes Covid-19 di China.
Setakat ini, negara-negara EU yang melaksanakan langkah tersebut ialah Perancis, Itali dan Sepanyol walaupun kesatuan itu gagal memberi pendirian sama.
Namun, lebih banyak perbincangan EU akan berlangsung minggu ini.
United Kingdom (UK) juga telah memulakan langkah yang sama.
Mulai Ahad, Perancis mewajibkan pelancong dari China memberikan keputusan ujian Covid-19 negatif kurang daripada 48 jam sebelum berlepas dan akan menguji mereka yang tiba secara rawak.
“Perancis akan mendesak agar metodologi ini digunakan di seluruh EU,” kata Menteri Kesihatan François Braun.
Ditanya tentang fakta bahawa pengembara China yang menghidap Covid-19 boleh mendarat di negara EU yang lain pada masa ini dan kemudian melakukan perjalanan tanpa kawalan ke Perancis, Beaune berkata: “Inilah sebabnya kita mesti menyelaraskan (di seluruh EU), untuk menjadi lebih cekap.”
Braun menegaskan, kawalan semasa ketibaan untuk penumpang tidak akan menghalang pelancong daripada memasuki Perancis, tetapi menyifatkannya sebagai “kawalan lebih saintifik, yang membolehkan kami mengikuti varian yang berbeza dengan sangat tepat.”
Langkah baharu itu akan kekal di Perancis sehingga 31 Januari, dengan enam penerbangan yang tiba dari China setiap minggu dan sehingga 10 penerbangan jika mengambil kira dari Hong Kong.
Kebanyakan penumpang dari China hanya melalui hab lapangan terbang Roissy-Charles-de-Gaulle.
Antara 300 penumpang dalam penerbangan Beijing-Paris yang mendarat pada Ahad, sekitar 60 memasuki wilayah Perancis.
Mereka bersetuju untuk mengambil ujian saringan PCR sebelum mengambil bagasi masing-masing.
Sebelum diuji, identiti pengembara diambil oleh ejen di pusat pemeriksaan terminal.
Jika mana-mana ujian didapati positif, penumpang mesti mengasingkan diri selama tujuh hari.
Tiga tahun selepas kemunculan kes pertama koronavirus di pusat bandar Wuhan, China menamatkan dasar ketatnya yang dikenali sebagai “sifar COVID” pada 7 Disember.
Sejak penarikan sekatan, hospital China telah dibanjiri oleh lonjakan pesakit Covid-19, kebanyakannya warga emas dan individu yang terdedah kerana protokol vaksinasi yang lemah. – Agensi