Bekas Pemangku Presiden MTUC, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (dua kanan) ketika menyerahkan memorandum mengenai Rayuan Pemulihan Kerja Bekas Pekerja LHDN kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (dua kiri) di Bulatan Masjid Putra, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Seramai 958 bekas pekerja Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berstatus kontrak yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, para pekerja yang telah diberhentikan itu berhak mendapat pembelaan kerana ada yang telah bekerja selama 18 tahun sebelum ini.

“Difahamkan pihak pengurusan mengatakan kontrak pekerja yang terlibat telah tamat. Kita faham itu, yang kita tidak boleh terima ada yang telah bekerja 18 tahun dan setiap tahun diberitahu kontrak tamat tapi setiap tahun khidmat mereka diteruskan akhirnya 31 Disember tidak berlaku. Mereka sangka perkara itu berterusan.

“Tempoh perkhidmatan kontrak setahun dan akan diperbaharui atau ditamatkan. Yang kita sangsi kontrak mereka setiap tahun akan ditamatkan tapi disambung juga selama 18 tahun,” katanya kepada pemberita ketika serahan rayuan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di sini hari ini.

Antara sebahagian bekas kakitangan LHDN memegang plakad sebagai tanda batahan semasa hadir bagi menyerahkan memorandum mengenai Rayuan Pemulihan Kerja Bekas Pekerja LHDN kepada Pejabat Perdana Menteri di Bulatan Masjid Putra, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 JANUARI 2023.

Turut hadir 112 bekas pekerja kontrak LHDN dari seluruh negara mewakili yang lain.

Dalam masa yang sama, Kamarul mempersoalkan tindakan LHDN mengambil lebih 700 pekerja baharu berstatus tetap.

“Menjadi persoalan kita mengapa mereka ambil pekerja baharu dan pekerja kontrak diberhentikan,” tambahnya.

Kamarul berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar membantu pekerja-pekerja kontrak LHDN yang telah diberhentikan berkuat kuasa 31 Disember yang lalu.

“Kita berharap dengan surat rayuan ini membuka mata Kerajaan Perpaduan bagaimana pekerja kontrak dilayan,” katanya lagi.

Sebagai rekod, LHDN menjelaskan tindakan pemberhentian dibuat demi melaksanakan proses transformasi iaitu tugas dan fungsi pekerja telah melalui proses automasi.

Menurut LHDN, penamatan kontrak 42 pegawai kontrak bulanan dan 998 pegawai kontrak harian telah dibuat sejak awal tahun lalu.

Sementara itu, Shamsul berkata, Perdana Menteri telah dimaklumkan berkenaan perkara ini dan memberi jaminan akan meneliti isu berkenaan.

“Pagi tadi saya memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan insya-Allah sedang diteliti dan tentunya akan diberi satu penyelesaian. Segala pandangan dan suara kita kumpul dan buat keputusan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast