Orang awam membeli minyak masak botol untuk kegunaan harian berikutan pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti dua hingga lima kilogram (kg) yang bermula 1 Julai ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pasaraya Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Harga maksimum minyak masak sawit tulen botol dikekalkan pada RM6.90 (1kilogram); RM13.30 (2kg); RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg)  bagi tempoh 8 Januari hingga 7 Februari 2023.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemain industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit walaupun harga purata minyak sawit mentah (MSM) di pasaran dunia pada bulan Disember meningkat.

“Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain industri pengeluar minyak masak sawit tulen melalui libat-urus yang dijalankan telah bersetuju mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga sedia ada sebagai usaha bersama untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup,” katanya menerusi kenyataan.

KPDN telah menetapkan Harga Runcit Maksimum terkini bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022.

Kawalan harga ini dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia.

Salahuddin mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menjual melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan.

Individu yang bertindak demikian boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti denda RM100,000 oleh mahkamah atau dipenjarakan tidah melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala syarikat juga boleh didenda sehingga RM500,000, ujar beliau.- MalaysiaGazette