KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpandangan tindakan mendisplinkan mana-mana atlet secara berketerlauan adalah sangat tidak wajar apatah lagi melibatkan kekerasan fizikal terutama terhadap pelajar.
Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, tindakan itu yang pada mulanya bersifat mengajar akan beralih kepada satu tindakan toksik yang memudaratkan.
“Di dalam kes jurulatih menampar pemain di hadapan khalayak, tindakan sebegitu sangat tidak wajar dan perlu dihentikan. Pelaku perlulah diambil tindakan sewajarnya agar perkara ini tidak berterusan menjadi budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perbuatan seorang jurulatih yang menampar dua remaja perempuan dalam satu rakaman video insiden dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 (B-14) Malaysia 2022 di Johor pada 16 Disember lalu.
Nurul Fadzilah berkata, tindakan yang keterlaluan itu tidak mendatangkan apa-apa kebaikan sebaliknya boleh membunuh minat seseorang terhadap sesuatu aktiviti sukan.
Malah aktiviti tersebut juga semestinya menjatuhkan semangat dan air muka mangsa.
“Pertandingan sukan pula dapat memupuk sifat bersaing yang sihat dan juga platform untuk menggilap bakat. Maka janganlah ia disulami dengan tindakan keterlaluan seperti penderaan mental dan kekerasan fizikal yang akhirnya mendatangkan kesan toksik kepada yang menyertainya,” katanya lagi.
Sebelum ini, tular dua atlet remaja perempuan dilihat ditampar oleh seorang lelaki dipercayai jurulatih mereka dari pasukan Melaka.
Insiden itu berlaku ketika pasukan Melaka ketinggalan di belakang pasukan Johor dengan lima mata.
Kejohanan bola tampar itu diadakan di SJK (C) Pei Hwa, Johor. – MalaysiaGazette