KAJANG – Kerajaan telah mengenal pasti beberapa penjara lama yang bakal dibangunkan semula bagi memberikan suasana kondusif buat banduan serta kakitangan Jabatan Penjara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek tersebut hanya membabitkan penjara yang berusia lebih 100 tahun bagi mewujudkan keadaan yang lebih manusiawi untuk didiami.
“Memang masih ada penjara yang usianya mencecah ratusan tahun yang wujud sejak 1870-an lagi dan ia masih diguna pakai sehingga sekarang, cuba bayangkan tahap kedaifan itu. Maka kita masukkan dalam perancangan untuk dibangunkan semula.
“Sekiranya ada keupayaan dana, memang kita mahu menukarnya sekelip mata tapi kita harus realistik. Keperluan itu ada tetapi kekangan dana, maka perancangan harus dimulakan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan rasmi ke Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.
Kata Saifuddin, antara penjara yang telah disenarai ialah Penjara Kamunting, Perak; Penjara Alor Setar, Kedah; Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan dan Penjara Reman Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Saifuddin berharap tiada lagi penambahan penjara baharu selain projek yang telah dirancang memandangkan kementeriannya komited mengurangkan kadar jenayah.
“Sedaya mungkin kita tidak mahu ada tambahan penjara baharu sebab kita mahu kurangkan kadar jenayah serta sabitan, maka dengan sendirinya penghuni penjara juga dapat kita kurangkan, kita akan usahakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Jabatan Penjara kini dihimpit dengan masalah kekurangan anggota dan ia akan diatasi segera dengan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
“Kita akan memudah cara dengan proses berkaitan dalam menyegerakan pengisian. Sudah tentu ada implikasi kewangan tapi hal itu kita anggap munasabah khusus untuk Jabatan Penjara menambah kekuatan anggota,” katanya. – MalaysiaGazette