Lim Kit Siang.- foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Peningkatan mendadak kes Covid-19 semasa era kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu dikatakan sebagai kegagalan terbesar bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, pada Hari Kebangsaan 2020, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 364 kes dan dua kematian akibat pandemik itu.

Namun beliau memberitahu, pada Hari Kebangsaan 2021, Malaysia telah mencatatkan lebih dari 630,000 kes dengan lebih 7,400 kematian akibat Covid-19 iaitu peningkatan mendadak sebanyak 17,000 dan 3,700 kali ganda untuk angka kes dan kematian akibat wabak tersebut.

Kit Siang menambah, ketika sidang Parlimen digantung pada 11 Januari 2021, Malaysia mencatatkan sejumlah 138,224 kes dengan 555 kematian akibat yang sama.

“Enam bulan kemudian, ketika bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, jumlah kes terkumpul telah meningkat 10 kali ganda menghampiri 1.5 juta kes dan jumlah kematian meningkat 24 kali ganda dengan lebih dari 13,000 kematian akibat Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN masih cuba menulis semula sejarah dan mengatakan  kejayaan terbesar Muhyiddin adalah dalam mengawal wabak Covid-19.

“Sedangkan perkara yang sebaliknya yang berlaku, pengurusan wabak Covid-19 adalah kegagalan terbesar Muhyiddin,” jelasnya.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu kesal dengan dakwaan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menuduh kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyekat kemasukan pelancong dari negara berisiko pada Februari 2020 sebagai punca penularan Covid-19 di negara ini.

Beliau menyifatkan dakwaan itu tidak masuk akal kerana kerajaan PH telah ditumbangkan oleh konspirasi politik Langkah Sheraton pada Februari 2020.

“Penularan wabak Covid-19 di Malaysia terkawal sehingga Hari Kebangsaan 2020. Malaysia gagal mengawal penularan wabak ini apabila PN mula menjadi tamak kuasa dan memaksa untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan pada September 2020,” jelasnya.

Sementara itu, Kit Siang berkata, setakat ini, tiada pihak yang dapat membuktikan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP bersikap anti-Melayu, anti-Islam, komunis atau mempromosi Islamofobia selama 14 tahun ia berkuasa sejak 2008.

“Sekiranya saya telah membuat pertuduhan yang serius terhadap orang lain dan saya dicabar untuk mengemukakan bukti, saya akan menggunakan peluang tersebut untuk membuktikan tuduhan saya.

“Tetapi dalam kes ini, hanya ada ‘kesunyian’ sahaja. Mengapakah begini?

“Bukankah perkara ini menjadi bukti yang mereka yang menuduh ini telah membuat tuduhan palsu yang salah dan tidak berasas dalam mengatakan DAP sebagai kononnya anti-Melayu, anti-Islam, komunis, atau mempromosikan Islamofobia?” soalnya.

Pada 7 Disember lalu, Kit Siang meminta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhannya bahawa DAP mengamalkan Islamofobia atau menarik balik kenyataan tersebut jika gagal membuktikannya.

Dalam satu kenyataan 28 November lalu, Abdul Hadi berkata; “Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia.” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast