KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Dasar Awam ByteDance .
Saifuddin Nasution berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau berbincang dengan pengelola TikTok Malaysia itu berkaitan menjadikan negara ini lebih harmoni.
Topik yang disentuh antara lain mengenai kebebasan bersuara yang bersifat tidak melampau.
“Hal ini yang saya bincangkan sewaktu pertemuan di pejabat tengah hari tadi bersama Hafizin Tajudin, Ketua Dasar Awam ByteDance yang mengelola Tiktok Malaysia.
“Perbincangan yang cukup baik demi Malaysia yang harmoni ke arah memperkukuh perpaduan nasional,” kata Saifuddin.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara ketika ini akan mempertahankan kebebasan bersuara yang dinikmati rakyat.
Bagaimanapun, katanya, kebebasan yang ada tidak seharusnya melampau sehingga boleh mencetuskan perasaan tidak senang masyarakat.
“Kerajaan hari ini cukup terbuka dengan agenda mempertahan kebebasan bersuara di kalangan rakyat, sememangnya itu juga yang kami perjuangkan sekian lama.
“Namun kebebasan bersuara juga perlu ada garis yang dijaga agar ianya tidak melampaui batas hingga menyentuh sensitiviti yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam,” tegasnya.
TikTok menjadi perhatian selepas ada pihak mendakwa ia digunakan bagi menyebarkan perasaan benci antara kaum dan agama di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Digital pada 7 Disember lalu berkata, sebanyak 1,126 video disekat oleh pengendali aplikasi TikTok secara automatik seminggu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, sebanyak 857 video yang dipercayai mengandungi kandungan melampau disekat ketika tempoh kempen PRU15 berlangsung antara 12 hingga 18 November selain 130 video lagi pada hari pengundian.
Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan penyedia aplikasi TikTok bagi membendung segera penyebaran kandungan berunsur provokatif serta ekstremis di media sosial.
Fahmi berkata kerjasama itu juga bertujuan membanteras isu penyebaran kandungan berunsur provokatif, menggugat keharmonian serta menyentuh sensitiviti kedudukan institusi Raja, agama dan bangsa.- MalaysiaGazette