TikToker Saifuddin pengundi muda
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas menuntut kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan langkah tegas dan berani dalam mengambil sikap proaktif berhubung potensi ancaman penularan wabak Covid-19 dari negara China.

Ketua Penerangannya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, langkah tegas itu perlu berikutan kerajaan China mengutuk dan mengancam akan bertindak balas terhadap negara yang mengenakan syarat ujian baharu Covid-19 ke atas warganya.

“Tindakan negara China mengutuk dan mengancam tindak balas terhadap negara-negara yang mengenakan syarat ujian baharu Covid-19 terhadap warganegaranya susulan lonjakan kes, harus diberi perhatian serius oleh kerajaan Malaysia.

“Kita mesti menyatakan langkah yang tegas, berani dan mengambil sikap proaktif berhubung potensi ancaman penularan kes Covid-19 dari negara China mutakhir ini.

“Kebanyakan rakyat menzahirkan kebimbangan, malah beberapa negara telah mengambil tindakan lebih awal daripada Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

China semalam, mengutuk negara yang mengenakan syarat ujian Covid-19 baharu ke atas penumpang warganegaranya yang melakukan perjalanan ke luar negara.

Sehubungan itu, Beijing memberi amaran bahawa pihaknya boleh mengambil tindak balas terhadap langkah sebegitu.

Antara negara yang mengenakan syarat berkenaan adalah Amerika Syarikat (AS), Kanada, Perancis dan Jepun yang mewajibkan pelancong dari China untuk mengemukakan ujian negatif Covid-19 sebelum ketibaan, susulan negara itu mengalami lonjakan kes.

Menurut Khairil Nizam, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa tampil memberi penjelasan menyeluruh dan situasi sebenar potensi ancaman penularan Covid-19 di negara ini bagi mengelakkan persepsi yang tidak benar.

Tambahan lagi, maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak terperinci berbanding realiti di China yang digambarkan semakin serius.

Setakat ini, katanya, kerajaan belum mengemukakan tindakan muktamad sama ada untuk menyekat atau mengetat syarat kemasukan pelancong asing khususnya dari China ke Malaysia. – MalaysiaGazette