Soffian (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis heroin dan ganja yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tiga individu termasuk sepasang kekasih ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang.

Ketiga-tiga suspek berusia 30 hingga 44 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 29 dan 30 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang juruteknik internet berusia 34 tahun di tepi Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor ketika dia sedang memandu kereta jenis Perodua Myvi.

Jelas beliau, suspek cuba melarikan diri dengan kenderaan tersebut sebaik diarahkan berhenti oleh pihak polis namun gagal selepas keretanya terlibat dalam satu kemalangan kira-kira 10 meter dari lokasi dia diarahkan berhenti.

Kata Soffian, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tiga paket dadah heroin seberat 1.37 kilogram (kg) serta sembilan paket lutsinar berisi dadah jenis sama seberat 110 gram (g).

“Bertindak atas maklumat suspek, kita melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga pengawal keselamatan kira-kira 7.15 malam di Jalan Perusahaan Perai.

“Susulan itu, kita serbu sebuah rumah pangsapuri di Tanjung Bungah pada jam 1 pagi keesokan hari sebelum menahan seorang wanita berusia 30 tahun yang berstatus janda.

“Dalam serbuan di rumah sewa kekasih kepada suspek pertama itu kita merampas enam ketulan mampat ganja seberat 5.7kg,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut, hari ini.

Secara keseluruhan jumlah rampasan dadah heroin dan ganja itu bernilai RM32,162, ujarnya.

Menurut Soffian, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Gelugor dan Tanjung Bungah sejak Julai tahun lalu.

“Selain itu, suspek dalam tangkapan pertama juga mendakwa memperoleh bekalan daripada pengawal keselamatan tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati dua suspek lelaki itu didapati positif dadah selain mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette