KUALA LUMPUR – Pengumuman terbaharu  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai kebenaran untuk kerajaan negeri Sabah dan Sarawak menentukan projek prasarana bawah RM50 juta disifatkan sebagai khabar gembira.

Pengerusi Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) Cawangan Sabah Razalie Sindong berkata, secara holistiknya perkembangan positif tersebut akan mengurangkan birokrasi daripada kerajaan Persekutuan.

“Kami rakyat Sabah terutamanya sangat menyokong pengumuman tersebut berbesar hati terutama hak menentukan projek ini diberikan kepada negeri Borneo sendiri.

“Kita yakin jika projek-projek yang berkaitannya diberikan kuasa kepada kerajaan negeri maka pelaksanaannya akan lebih cepat kerana mengurangkan birokrasi kerana sebelum ini kelulusan terpaksa ditunggu daripada kerajaan persekutuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Razalie, pelaksanaan projek prasarana akan memberi kebaikan kepada rakyat Borneo yang berpeluang memiliki kemudahan infrastruktur mengikut keperluan.

Dalam masa yang sama, beliau yakin ia akan memberi kelebihan kepada sudut ekonomi rakyat.

“Kerajaan negeri lebih tahu hala tuju negeri masing-masing dalam konteks tempatan dan keperluan penduduk, jadi kerajaan negeri lebih maklum apa projek yang perlu diutamakan untuk dilaksanakan terlebih dahulu.

“Ekonomi rakyat juga dapat berkembang secara tidak langsung kan bila ada peluang pekerjaan baharu daripada kewujudan projek-projek prasarana,” tambahnya.

Anwar hari ini berkata, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak diberikan kebenaran menentukan projek prasarana bawah RM50 juta di negeri masing-masing.

Ujar Perdana Menteri itu, ia merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk melaksanakan beberapa isu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tertangguh sejak sekian lama.

Mengulas lanjut, Razalie berharap, Sabah dan Sarawak akan menerima lebih banyak berita gembira selepas ini berkaitan dengan MA63 demi membuktikan ianya bukan hanya retorik semata-mata.

“Kita berharap di masa hadapan Perdana Menteri akan umum beberapa perkara MA63 yang sebelum ini dijadikan sentimen kepada rakyat Sabah,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah Tan Sri Andrew Liew pula menyifatkan kebenaran pelaksanaan projek di bawah jumlah yang sudah ditetapkan kerajaan itu akan membuka ruang untuk rakyat di Negeri Di Bawah Bayu meningkatkan taraf hidup masing-masing.

“Mudah-mudahan dengan adanya lebih banyak projek prasarana mengikut ketatapan jumlah, Sabah akan lebih maju tidak lagi dilihat ketinggalan dari segi infrastruktur,” tambahnya.

Bagaimanapun beliau berharap, projek prasarana yang dilaksanakan akan mematuhi prosedur dan dipantau rapi oleh kerajaan negeri bagi mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan dana.

“Tapi apa pun perlu ada prosedur yang harus dipatuhi. Perlu berpegang dengan prinsip intergriti itu, ia akan mengelak berlakunya ketirisan, elak ada projek yang gagal dilaksanakan atau diselesaikan, perlu jujur sebab projek prasarana adalah projek untuk rakyat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan serah kuasa lulus projek bawah RM50 juta kepada Sabah, Sarawak