Anwar Ibrahim. Foto MUHD NA’IM, 04 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa meluluskan hampir keseluruhan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet berkata, langkah itu bagi memastikan mana-mana keputusan untuk pembangunan dapat dibuat segera tanpa perlu kata putus dari Putrajaya.

“Walaupun peruntukan besar diberikan tetapi peruntukan itu tidak dapat dipenuhi kerana kerenah pentadbiran mengikut peraturan biasa yang terpaksa merujuk kepada Persekutuan.

“Jadi kita sudah putuskan dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk menetapkan mana-mana projek bawah RM50 juta diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak.

“Ia dilaksanakan dengan mematuhi peraturan kewangan tetapi keputusan itu boleh dibuat di Kuching atau Kota Kinabalu tanpa dilengahkan kerana tunduk kepada peraturan lama,” katanya dalam sidang media di Perdana Putra hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kelulusan oleh pentadbiran di kedua-dua wilayah itu perlu mematuhi peraturan kewangan sedia.

Keputusan itu, katanya, selaras perjanjian MA63 itu bagi memastikan projek yang tertangguh kerana keputusan berkaitannya perlu dibuat di peringkat Persekutuan dapat dilaksanakan dengan segera.

Anwar juga berkata, satu mesyuarat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diadakan penghujung bulan ini yang akan dipengerusikannya.

Mesyuarat itu akan dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mesyuarat yang sama dijangka akan membincangkan isu pemberian khas untuk Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

“Sabah mula-mula diberi RM16 juta dan Sarawak RM25 juta dan ia sepatutnya disemak setiap lima tahun tetapi ini tidak dilakukan.

“Disebabkan itu, kita kena pastikan ada pertambahan yang sewajarnya dalam peruntukan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette