Omoda 5 keluaran Chery

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah memanggil syarikat Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. bagi menyiasat dan mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai isu kegagalan gandar kenderaan model Omoda 5

Demi memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya yang lain, JPJ Malaysia telah menetapkan supaya 600 unit kenderaan dalam model yang telah dikenal pasti terlibat dengan isu tersebut, dilaksanakan proses pemanggilan semula berkuat kuasa hari ini.

Pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak syarikat bagi menempah slot pemeriksaan masing-masing atau pemilik kenderaan boleh walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara.

“Mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan semua kos yang ditanggung oleh syarikat Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd.

“JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited untuk memastikan kesemua unit yang terlibat dibuat pemeriksaan dan disahkan selamat serta proses penggantian komponen gandar dilaksanakan bagi kenderaan yang terkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenderaan model Omoda 5 dilaporkan mengalami masalah gandar belakang.

Sehubungan itu, JPJ meminta semua pemilik kenderaan model OMODA 5 buatan Chery membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula/pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.

Katanya, JPJ sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara seterusnya berada pada tahap yang terbaik.

Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ – https://jpj.spab.gov.my.

Isu masalah gandar ini tercetus apabila ada pembeli mendakwa  gandar belakang kereta miliknya patah ketika sedang memandu.

Kejadian itu mencetuskan tanda tanya kerana  jalan yang dilalui ketika itu tidak mempunyai sebarang bonggol dan lubang serta tidak pernah terbabit dalam sebarang kemalangan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

Chery Auto, Puspakom dapati Omoda 5 tiada masalah brek