Istana Kehakiman, Putrajaya

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan seorang wanita berketurunan India beragama Islam sejak kecil untuk membatalkan penukaran agama oleh ibunya yang merupakan seorang mualaf.

Difahamkan wanita itu yang kini berusia 37 tahun telah diislamkan ketika berusia empat tahun.

Tiga panel hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mencapai keputusan majoriti 2-1 bagi mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada wanita tersebut.

Abang Iskandar bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais menolak rayuan wanita itu manakala Hakim Hakim Datuk Mary Lim Thiam Suan menentang.

Pada Januari 2023 Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan dia bukan penganut agama Islam.

Sebelum ini mahkamah membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengembalikan status agama wanita itu.

Pada 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan penukaran agama wanita itu kepada Islam oleh ibu mualafnya.

Wanita itu mendakwa ibunya telah menukar agama beliau pada  1991 selepas bercerai dengan bapanya seorang penganut agama Hindu.

Ibu wanita berkenaan kemudian berkahwin dengan seorang lelaki Islam pada 1993 manakala bapa kandungnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 1996.

Perayu juga mendakwa telah mengamalkan agama Hindu selepas ibu dan bapa tirinya membenarkannya mengamalkan ajaran agama yang dianuti mereka sejak dilahirkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast