KUALA LUMPUR – Kes penjualan bilik Kolej Kediaman Casuarina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam yang tular baru-baru ini menimbulkan persoalan terhadap sistem penempatan kolej kediaman universiti berkenaan.
Persoalan itu timbul selepas dokumen rasmi UiTM menunjukkan sebanyak 60 peratus penilaian penempatan kolej bagi sesi September 2026 hingga Februari 2027 diberikan berdasarkan e-Merit Aktiviti Pelajar.
Menurut dokumen Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar bertarikh 5 Ogos 2026 pula terdapat lima kriteria ditetapkan bagi penempatan kolej kediaman.
Selain e-Merit Aktiviti Pelajar yang menyumbang 60 peratus, pendapatan dan tanggungan isi rumah hanya diperuntukkan 15 peratus, pencapaian akademik 10 peratus, kemahiran insaniah 10 peratus dan keperluan khas lima peratus.
UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Selangor pula dijadikan kampus rintis bagi kaedah penilaian berkenaan.
Kolektif Mahasiswa UiTM (KMUiTM) dalam kenyataan hari ini mempersoalkan sama ada struktur tersebut benar-benar mengukur keperluan mahasiswa untuk mendapatkan tempat tinggal atau sekadar mengukur keupayaan mereka mengumpul merit menerusi aktiviti kampus.
“Apabila 60 peratus penilaian datang daripada aktiviti pelajar, tetapi keadaan pendapatan dan tanggungan isi rumah hanya diberi 15 peratus, kita perlu persoalkan sama ada sistem ini benar-benar mampu memastikan bilik sampai kepada mahasiswa yang paling memerlukannya,” katanya.
Menurut KMUiTM, mahasiswa tidak mempunyai peluang yang sama untuk mengumpul merit aktiviti, terutama mereka yang berdepan kekangan kewangan, tanggungjawab keluarga atau masalah pengangkutan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mahasiswa yang lebih bergantung kepada kolej kediaman mungkin mempunyai ruang yang lebih kecil untuk terlibat dalam aktiviti kampus.
Dalam keadaan bekalan bilik yang terhad, KMUiTM menegaskan, penempatan yang diperoleh tetapi tidak benar-benar diperlukan seseorang mahasiswa boleh mempunyai nilai tinggi kepada mahasiswa lain yang gagal mendapat tempat.
Situasi itu, menurutnya, berpotensi mewujudkan ruang kepada transaksi tidak rasmi termasuk penjualan bilik.
“Kami tidak mempertahankan penjualan bilik. Tetapi tindakan tatatertib tanpa pembaharuan terhadap sistem hanya akan mengulangi kitaran yang sama.
“Penjualan mungkin dapat ditekan buat sementara waktu, tetapi permintaan terhadap bilik akan kekal tinggi, kapasiti kediaman masih terhad dan kaedah agihan yang bermasalah terus digunakan,” katanya.
KMUiTM turut mempersoalkan tindakan universiti yang disifatkan reaktif susulan isu berkenaan.
Menurut kumpulan itu, masalah kekurangan kediaman di Kampus Puncak Alam bukan perkara baharu dan sepatutnya mendorong UiTM menilai semula keseluruhan sistem penempatan, bukan sekadar mengambil tindakan terhadap individu apabila berlaku pelanggaran.
Bekas Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Roziah Mohd Janor, sebelum ini pernah mengakui bahawa UiTM Puncak Alam dan Shah Alam merupakan antara kampus yang paling terjejas akibat kekurangan kediaman.
“Masalahnya bukan hanya siapa yang menjual bilik. Persoalan yang lebih penting ialah mengapa terdapat mahasiswa yang memperoleh bilik tetapi tidak benar-benar memerlukannya, sementara mahasiswa lain yang memerlukan tempat tinggal masih bersaing untuk mendapatkannya,” katanya.
Sehubungan itu, KMUiTM menggesa UiTM menjalankan penilaian semula terhadap sistem e-Merit serta memberi keutamaan lebih besar kepada faktor keperluan dalam pengagihan kolej.
Antara faktor yang dicadangkan termasuk keadaan kewangan, jumlah tanggungan keluarga, jarak kediaman dan akses pengangkutan.
“Selagi universiti hanya menghukum individu selepas penjualan bilik berlaku tanpa membetulkan sistem yang menentukan siapa mendapat bilik pada awalnya, selagi itulah universiti hanya menangani simptom dan bukan punca,” katanya. – MalaysiaGazette
















