Fadhlina Sidek.

SERDANG – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pegawainya yang didakwa membuat kenyataan secara terbuka berhubung pengumuman kenaikan gaji penjawat awam semalam.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata secara ringkas, beliau masih menunggu hasil siasatan yang dibuat terhadap wanita berkenaan.

“Saya fikir perkara itu sedang dalam siasatan di peringkat KPM dan kita sedang tunggu hasil siasatan, insya-Allah,” ujarnya pada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu tular di facebook Kami Guru Malaysia, seorang pegawai KPM menasihati golongan pendidikan agar tidak terlalu gembira dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan gaji penjawat awam.

Wanita itu mendakwa kenaikan gaji sebanyak 15 peratus yang akan dibuat pada Disember itu masih lambat dan dalam tempoh itu pelbagai situasi boleh berlaku.

Bagaimanapun, semakan MalaysiaGazette mendapati wanita yang didakwa berasal dari Terengganu itu telah menyekat akaun facebooknya daripada umum.

Status dimuat naik menerusi Facebook Kami Guru Malaysia.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan berita gembira kepada penjawat awam yang bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus – kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.

Mengulas perkara itu, Fadhlina berkata, ia merupakan salah satu komitmen Kerajaan Madani menghargai golongan penjawat awam yang memberikan sumbangan dan dedikasi dalam usaha meningkatkan keupayaan negara.

“Alhamdulilah. Salam 15 peratus kenaikan dan saya fikir ini berita yang sangat mengembirkan buat semua. Ia juga menggambarkan tekad Kerajaan Madani untuk terus menjaga dan memastikan kebajikan khusu buat pejawat awam.

“Ini juga jelas memastikan apa yang sedang kita kerjakan ini adalah sebahagian komitmen kerajaan dan mudah-mudahan urusan kita dalam isu lain turut diberi kemudahan insya-Allah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast