MELAKA – Padah mencuri wang kutipan tabung dua buah surau bulan lalu, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Hidayah Abdullah, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat telah melakukan kesalahan pecah rumah ke atas Surau Ar Rahmah, Jalan Limbongan dalam daerah Melaka Tengah bagi maksud untuk mencuri wang tunai berjumlah RM700 milik surau berkenaan.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9 malam 23 April lalu yang mana jika sabit kesalahan hendaklah dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut didapati telah melakukan kesalahan mencuri duit tabung milik Surau Selekoh Jalan Padang Temu, Kampung Padang Temu dalam derah Melaka Tengah, sehari selepas itu.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang 24 April lalu. Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga didenda di bawah Seksyen 380 kanun sama.
Terdahulu, tertuduh yang berpewatakan lelaki dalam rayuannya memohon hukuman penjara yang ringan dari tarikh ditangkap 24 April lalu selain mempunyai anak yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira fakta kes dua kesalahan curi dilakukan tertuduh.
Selain itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam juga jelasnya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan curi dan pernah dipenjarakan selama enam bulan tahun lalu.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap bagi kedua-dua pertuduhan. – MalaysiaGazette