GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan tiga remaja bawah umur ketika melakukan rondaan Op Tanjung di kedudukan 2.8 batu nautika barat di Batu Kawan semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan kelas A berpangkalan di Sungai Udang itu ditahan pukul 5 petang ketika dalam perjalanan menuju ke sangkar ikan berdekatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tiga kru tempatan berusia lingkungan 12 hingga 16 tahun.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu tidak mengusahakan sendiri dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 dengan menggaji pekerja di bawah umur.
“APMM memandang serius terhadap pengusaha atau majikan yang menggaji atau mengeksploitasi pekerja di bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi tangkapan kedua, Abd Razak berkata, pihaknya telah menahan sebuah bot yang dikendalikan empat kru warga Myanmar pada kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Kendi.
Jelas beliau, tangkapan ke atas empat lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun itu dilakukan pada pukul 9.43 pagi ketika pihaknya melakukan rondaan Op Pertiwi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, tiga daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.
Tambah Abd Razak, kedua-dua bot nelayan tempatan serta kesemua kru berkenaan termasuk hasil laut dan muatan makanan ikan dibawa di Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban serta Jeti Limbongan Batu Maung bagi diserah kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Kita tidak sesekali akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada,” tegasnya. – MalaysiaGazette