pemilihan UMNO
Perwakilan UMNO dijangka membuat keputusan berhubung usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada PAU 2022 minggu depan.

PEMILIHAN UMNO yang bakal berlangsung dalam masa terdekat adalah amat penting dalam usaha melakukan penjajaran semula terhadap kepimpinan parti semua peringkat selepas prestasi kurang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mahu tidak mahu, para pemimpin dan ahli UMNO seharusnya mengakui hakikat bahawa parti itu dalam keadaan ‘berbelah bahagi’ ekoran keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian daripada mereka menyokong langkah itu yang disifatkan sebagai wajar bagi mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi di negara ini manakala jumlah kumpulan yang membantah juga agak ramai.

Situasi tersebut jika tidak ditangani secara berkesan dikhuatiri boleh menjejaskan perpaduan dalam UMNO sekaligus melemahkan parti dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Justeru, UMNO memerlukan barisan kepimpinan yang mantap dan berupaya mengikis segala keraguan yang timbul dalam kalangan akar umbi terhadap kemampuan mereka memulihkan semula kekuatan parti.

Cuma agak membimbangkan apabila timbul cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam UMNO iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mencadangkan agar usul berhubung cadangan tersebut dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang akan berlangsung mulai 11 hingga 14 Januari ini.

Pelbagai reaksi timbul ekoran cadangan Jamal itu. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun mahu Ahmad Zahid dikekalkan sebagai Presiden manakala veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berpandangan, tidak sepatutnya wujud sekatan terhadap pertandingan dua jawatan tertinggi parti.

Namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri memilih untuk mengambil jalan tengah dengan menyerahkan kepada para perwakilan yang bakal bersidang minggu depan untuk menentukan perkara itu.

Maka, pertimbangan para perwakilan bakal menentukan sama ada UMNO akan dilihat sebagai sebuah parti yang demokratik dengan membuka semua jawatan untuk dipertandingkan atau sebaliknya.

Perlu diakui bahawa keputusan yang bakal dibuat oleh perwakilan UMNO kelak bukan mudah kerana ia akan memberi kesan terhadap kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Jika perwakilan memutuskan agar semua jawatan dibuka untuk dipertandingkan, tidak dapat dipastikan apa yang bakal berlaku sekiranya Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan masing-masing tidak dipilih semula sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Tidak diketahui juga sama ada pucuk pimpinan yang baharu akan meneruskan kerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan atau melakar jajaran politik yang lain untuk UMNO.

Dalam masa yang berbaki kira-kira seminggu sahaja lagi, perwakilan yang akan menghadiri PAU 2022 perlu memikirkan semasak-masaknya tentang kesan dan akibat keputusan mereka terhadap masa depan parti.

Usul yang bakal dilontarkan kepada mereka adalah lebih rumit berbanding usul menolak kerjasama dengan Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-15 seperti yang diputuskan pada PAU 2020.

Jika usul yang dicadangkan oleh Jamal itu dibentangkan, adalah lebih baik proses undian dilakukan secara kiraan fizikal dan bukannya melalui undian suara bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan keraguan berbangkit pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast