Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN – Seramai 3,759 peserta telah mengikuti program Tafaquh Fiddin (TFD) yang dijalankan secara percuma dalam tempoh tujuh tahun di 23 buah masjid di Negeri Pahang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar, Dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Program Pengajian Agama Islam Negeri Pahang ini telah bermula pada 6 Jun 2015.

Lebih membanggakan katanya, kelas itu telah mencatatkan sejarah dengan mengembangkan sayapnya buat pertama kali ke peringkat antarabangsa dengan memperkenalkan TFD Mesir pada awal tahun 2019.

“Program Tafaquh yang berkurikulum ini diselaraskan pula oleh Yayasan Pahang (YP) dengan kerjasama masjid-masjid berkenaan dan pelajar dididik oleh guru-guru terlatih.

“Kerajaan Negeri Pahang juga menggerakan TFD di peringkat daerah, negeri, luar negeri dan di Mesir.

“TFD disediakan bagi kemudahan mempelajari ilmu pengajian Islam secara sistematik tanpa mengira peringkat umur, taraf pendidikan dan kelayakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, TFD Mesir memberi manfaat kepada lebih 250 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak Pahang di Kaherah, Mesir dengan memberi keutamaan kepada subjek-subjek teras yang merupakan silibus tetap para pelajar di Universiti Al-Azhar.

Syed Ibrahim memaklumkan 934 graduan menamatkan pengajian Majlis Konvokesyen Program Persijilan Pengajian Islam Tafaqquh Fiddin Negeri Pahang  (TFD) Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan pada 29 Disember 2022 lalu.

Selain itu katanya lebih 700 program takmir dan Briged Dakwah melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Adat Resam Melayu Islam Pahang (MUIP) serta program Bicara Mufti melalui Jabatan Mufti Pahang turut dilaksanakan di negeri ini. – MalaysiaGazette