Pemilik Akaun Tiktok Wakil Rakyat Netizen, Jannahtul Ain Jaafar bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum berkaitan tuntutan pengeluaran khas KWSP 50 ribu secara sekali pengeluaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan maksimum RM50,000 atau 50 peratus daripada akaun satu simpanan pencarum.

Wakil netizen dari Persatuan Disiplin dan Kaunseling Kebangsaan, Jannahtul Ain Jaafar berkata, desakan itu dibuat berikutan rakyat kini tidak mempunyai jalan lain untuk mengatasi masalah kewangan yang ditanggung mereka.

Ditambah lagi dengan keadaan ekonomi yang semakin meruncing disebabkan peningkatan kos sara hidup.

“Lebih parah, masih ramai yang tidak mampu bangkit untuk berdepan dengan kos sara hidup walaupun negara sudah di fasa endemik,;’ katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Dakwa beliau, ada individu yang terdesak  terpaksa melacur diri di kelab malam kerana mahukan wang segera kerana telah dihalau dari rumah sewa serta alami hutang berlebihan akibat  penularan Covid-19.

Ada juga yang nekad mengancam nyawa sendiri kerana terlalu tertekan dengan kelangsungan hidup yang kian meningkat akibat berhutang dengan ah long.

Jannahtul Ain Jaafar (dua kiri) menunjukkan memorandum berkaitan tuntutan pengeluaran khas KWSP 50 ribu secara sekali pengeluaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2023.

Terdahulu, dia bersama Persatuan Disiplin dan Kaunseling Kebangsaan hadir menyerahkan memorandum pengeluaran KWSP 2.0 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Serahan itu diterima oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Farhan Fauzi pada jam 11.15 pagi tadi.

Tambah Jannahtul Ain, pihaknya telah membuat petisyen tuntutan itu sejak Mei tahun lalu dengan mendapat sokongan seramai 319, 716 orang.

Mengulas mengenai tempoh untuk kerajaan memutuskan perkara berkenaan, Jannahtul Ain berharap ia dapat dibuat sebelum bulan Ramadan iaitu pada Mac nanti.

“Kalau boleh saya target sebelum bulan puasa sebab kita nak buat ibadat dan berikanlah pelepasan duit mereka, jangan tahan duit mereka,” rayunya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.