KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memberi jaminan akan memastikan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) disiapkan menjelang Julai 2024.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya mengambil serius dalam perkara itu selain ia juga merupakan agenda utama kementerianya.
Buat permulaan, sekurang-kurangnya empat kapal LCS disasarkan untuk siap dibina secepat mungkin.
“Lagipun, saya dan Ketua Setiausaha Kementerian (Datuk Seri Muez Abd Aziz) mengambil serius isu ini dan misi kami sekarang adalah untuk menyiapkan pembinaan kapal LCS itu dengan segera,”
“Kami hanya akan menumpukan fokus dan pertimbangan dalam aspek komersial dan akan memastikan sekurang-kurangnya empat kapal LCS siap belayar.
“Selagi saya bertanggungjawab di Mindef ini, misi saya adalah mahu memelihat kapal LCS ini berada atas air (belayar) menjelang Julai 2024,” katanya dalam amanat Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menterinya Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Mohamad berkata, beliau akan berusaha usaha menyiapkan projek pembinaan kapal LCS itu dipergiatkan oleh kementeriannya.
Malah katanya, pihaknya juga akan membawa perkara ini kepada perhatian segera Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk pertimbangan sewajarnya.
“Apabila perkara ini dibawa kepada kedua-dua kementerian itu (Anwar Ibrahim-Rafizi Ramli), gambaran menyeluruh tentang projek kapal LCS akan dibincangkan secara terperinci untuk diselesaikan segera,” ujar beliau.
Dalam satu lagi perkembangan lain berkaitan aset pertahanan, beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga akan memastikan perolehan untuk Light Combat Aircraft (LCA) and Littoral Mission Ship (LMS) diselesaikan pada tahun ini.
“Saya akan mengadakan lawatan terhadap projek perolehan utama yang lain yang telah dicadangkan untuk tahun ini.
Pada Disember lalu, Mohamad memaklumkan projek pembinaan kapal LCS tetap akan diteruskan tetapi tertakluk kepada semakan semula.
Namun sebelum itu, katanya beliau perlu mendapatkan taklimat terperinci bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai projek berbilion ringgit yang dilanda masalah kelewatan untuk disiapkan.
“Kementerian Pertahanan akan memastikan semua enam buah kapal LCS itu disiapkan kerana ia merupakan aset yang sangat diperlukan oleh Angkatan Tentera kita,” tegasnya.- MalaysiaGazette