KUALA LUMPUR – Perodua berharap harga bahan mentah dan harga bahan api kekal terurus dan pada masa yang sama, berharap pertukaran mata wang asing serta kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, sekiranya faktor-faktor ini kekal pada paras yang wajar, Perodua akan mengekalkan harga kenderaannya.
Menurut beliau, pada tahun ini, Perodua dan rakan niaganya akan memberi tumpuan untuk memanfaatkan pertumbuhan yang dicapai setakat ini dan mengembangkan lagi kapasitinya.
”Buat masa ini, keutamaan kami adalah untuk menghantar kenderaan Perodua kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau juga berkata, Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu di dalam produk dan perkhidmatannya pada masa hadapan serta melabur di dalam inovasi teknologi bagi operasinya.
“Selain itu, kami juga akan menggalakkan rakan niaga kami, iaitu para pembekal dan pengedar untuk terus melabur dalam teknologi baharu supaya mereka lebih berdaya saing dan produktif.
”Kami akan mengumumkan senarai penuh sasaran kami pada bulan Januari dan saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sokongan berterusan mereka, rakan kongsi kami atas dedikasi mereka, kakitangan Perodua atas pengorbanan dan kerja keras mereka serta para
pelanggan kami yang dihargai atas sokongan setia mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.
Zainal menambah, industri automotif Malaysia mampu memaksimumkan potensinya melalui tanggungjawab bersama untuk memenuhi jangkaan pelanggan dalam pelbagai aspek tahun lepas, menghasilkan rekod prestasi terbaik buat Perodua setakat ini.
Pengeluaran Perodua meningkat 49.5% kepada 289,054 unit pada 2022 berbanding 193,400 unit pada 2021, manakala bagi jualan ianya menyaksikan peningkatan sebanyak 48.2% kepada 282,019 unit berbanding 190,291 kenderaan yang didaftarkan pada 2021.
Selepas jualan pula menyaksikan jumlah pengambilan meningkat kepada 2.6 juta iaitu kenaikan sebanyak 30% daripada 2.0 juta pengambilan servis pada 2021.
”Industri banyak belajar ketika melalui fasa pandemik dan kami menyedari perlu mengambil langkah yang proaktif untuk pulih pada 2021 – yang mana
menyaksikan pelbagai cabaran dan daripada itu kami memaksimumkan potensi ekosistem pada 2022,” tambah beliau.
Beliau berkata, tahun 2022 mempunyai cabarannya termasuk pemulihan ekosistem akibat daripada banjir besar, kekurangan pekerja akibat lonjakan kes
Covid-19 di peringkat pembekal, kekurangan bekalan cip semikonduktor dan peningkatan mendadak harga bahan mentah.
Namun dengan perancangan yang betul, Perodua dan rakan niaganya bukan sahaja dapat mengatasi cabaran ini tetapi juga memperoleh pertumbuhan yang sangat diperlukan untuk industri, tambah beliau. – MalaysiaGazette