PUTRAJAYA – Klinik Kesihatan setiap negeri dicadang supaya melanjutkan tempoh operasi sebagai usaha menangani kesesakan pesakit di jabatan kecemasan hospital.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah ini boleh mengalihkan pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal bagi mendapat rawatan di klinik-klinik kesihatan.
Menurutnya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019, kesesakan di jabatan kecemasan hospital berlaku apabila 70 peratus kes yang diterima merupakan kes-kes bagi zon hijau (kes bukan kritikal).
“Ini bertentangan dengan skop atau fungsi sebenar jabatan kecemasan hospital yang sepatutnya menerima kes-kes kritikal.
“Tempoh menunggu juga didapati melebihi daripada enam jam,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementeeian Kesihatan Malaysia (KKM).
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau turut menyarankan supaya Pengarah Kesihatan Negeri membuat penjajaran perjawatan dengan pusingan kerja sebagai contoh menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital.
“Langkah ini dapat mengurangkan isu tempoh bekerja terlalu lama bagi satu-satu masa untuk seseorang pegawai dan secara tidak langsung dapat mengelakkan kejadian burn-out,” jelasnya.
Selain itu kata Zaliha, pengarah hospital hendaklah memastikan pembukaan perkhidmatan baharu dilaksanakan dengan segera.
“Ini seiring apabila kelulusan jawatan atau sumber manusia tambahan disertakan dengan kelulusan peruntukan kewangan.
“Langkah ini perlu dilakukan dengan satu perancangan yang teratur dan teliti agar sumber manusia, peruntukan kewangan serta kemudahan fasiliti diagihkan secara pentadbiran untuk mengelakkan dari berlakunya kekangan sumber yang serius,” tambah beliau.
Sementara itu, Menteri Kesihatan pada majlis yang sama hari ini turut melancarkan Inisiatif Label Ubat Mesra OKU (Orang Kurang Upaya (Penglihatan).
Kata beliau, usaha ini memudahkan OKU penglihatan mendapat maklumat yang cepat tepat mengenai ubat yang diberikan.
“Langkah ini selaras dengan matlamat di bawah ‘Malaysia Patient Safety Goals 2.0 – Medcation Safety: Medication without Harm,” katanya lagi.
Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak 250 klinik kesihatan seluruh negara akan melaksanakan inisiatif berkenaan.-MalaysiaGazette