Pasangan suami isteri yang dituduh menyalahgunakan wang syarikat dituduh di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran wang syarikat untuk diri sendiri di Mahkamah Sesyen 1 di sini, hari ini.

Tertuduh, Tan Ching Peng, 60, dan isterinya, Tan Siew Moi, 57, didakwa melakukan tiga kesalahan menyalahgunakan harta milik syarikat sendiri, Rekabina Construction Sdn. Bhd (Rekabina) berjumlah RM220,000 dari tahun 2020 hingga 2021.

Mengikut kertas pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ching Peng selaku Ketua Operasi Syarikat dan isterinya, didakwa melakukan kesalahan pertama pada 21 Disember 2020 dengan secara tidak jujur mengeluarkan wang syarikat berjumlah RM20,000.

Diikuti kesalahan kedua, mengeluarkan wang syarikat sebanyak RM50,000 pada 18 Januari 2021 dan kali ketiga sebanyak RM150,000 pada 30 September 2021.

Atas pertuduhan itu, kedua mereka dituduh bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca Bersama Seksyen 14 KK.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat, dan juga denda.

Bagi kesalahan berasingan, Siew Moi turut menghadapi enam lagi pertuduhan menyalahgunakan harta untuk diri sendiri dari 2020 hingga 2021.

Tuduhan pertama beliau didakwa mengeluarkan wang syarikat berjumlah RM50,000 pada 3 Disember 2020, diikuti kesalahan kedua, RM50,000 (3 Disember 2020), ketiga, RM72,000 (28 Disember 2020), keempat, RM50,000 (13 Januari 2021), kelima, RM80,000 (5 Oktober 2021) dan kali keenam, RM80,000 (8 Oktober 2021).

Siew Moi mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibaca mengikut Seksyen 304 KK yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, Siew Moi yang memenang jawatan Pengarah Syarikat Rekabina itu boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Hakim Datuk Rozilah Salleh kemudian mengenakan ikat jamin berjumlah RM110,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi Siew Moi dan suaminya, Ching Peng. Mereka kemudian membayar jaminan itu.

Hakim turut meminta kedua mereka menyerahkan passport dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairudin dengan Pegawai Pendakwa, Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Asmadi Hussain.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Februari ini untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette