KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang melanggar seekor kerbau di Jalan Dengkil Air Hitam, Dengkil, Selangor awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu mangsa yang berusia 16 tahun itu menunggang motosikal dari arah Dengkil menghala ke Taman Dengkil Jaya.
“Siasatan awal polis di lokasi kemalangan mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri gagal mengelak seekor kerbau yang secara tiba-tiba melintas jalan di lokasi kejadian itu.
“Mangsa telah merempuh kerbau tersebut sebelum mengalami kecederaan parah di bahagian kepala kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.
“Pemeriksaan lanjut polis juga mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu sah.
“Motosikal mangsa kini telah ditahan untuk siasatan lanjut yang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette