KUANTAN – Seorang mangsa mengadu dia ‘dipenjarakan’, dipukul dan dipaksa bekerja 16 jam oleh sindiket skim pekerjaan palsu di Myawaddy, Myanmar.
Kisah sedih mangsa diceritakan oleh ibu mangsa, Ng San, selepas mendapat panggilan daripada anak lelakinya yang minta diselamatkan sejak menjadi mangsa pemerdagangan manusia sejak setahun lalu.
Ng San, 46, yang bimbang akan keselamatan anaknya merayu Kementerian Luar Negeri segera membantu menyelamatkan anaknya yang berusia secepat mungkin.
“Anak saya merayu bolehkah anda membantu saya? Saya dipaksa bekerja sehingga tidak diberi makan atau dibenarkan tidur setiap hari jika sasaran tidak tercapai,” kongsi ibu ini kepada media.
Ibu ini kebingungan untuk menyelamatkan anaknya ketika Ng San kini juga terpaksa menjaga ayahnya yang uzur.
“Tolong selamatkan anak saya, datuknya sedang nazak. Ayah saya mengidap penyakit barah dan kini sedang bertarung nyawa.
“Datuknya amat berharap dapat berjumpa dengan cucunya sebelum menghembuskan nafas terakhir,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang memberitahu, mangsa pernah meminta bantuan daripada beliau supaya menyelamatkannya bersama empat mangsa lain.
Namun katanya, ketika proses untuk menyelamatkannya sedang dilakukan mangsa telah disembunyikan kumpulan sindiket berkenaan.
Walau bagaimanapun, Chon Siang tidak akan berputus asa menyelamatkan mangsa dan mengembalikannya kepada keluarga semula. – MalaysiaGazette