KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke Sabah, malam ini.
Jelas Bung, pertemuan dengan Perdana Menteri itu dipercayai bagi membincangkan mengenai perkembangan politik di negeri itu.
“Kami menunggu Perdana Menteri yang akan datang esok. Beliau akan berjumpa dengan kita, parti Warisan dan GRS. Barulah kita akan bercakap mengenai itu.
“Keputusan akan dibuat pada malam esok,” katanya seperti dipetik laporan media, hari ini.
Pertemuan Anwar dengan kepimpinan negeri Sabah antaranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan akan dirungkaikan malam ini.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dijangka menghadiri perjumpaan tersebut.
Dalam pada itu, Bung Moktar menganggap kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Hajiji sudah tiada kerana Barisan Nasional (BN) telah menarik sokongan terhadap beliau.
“Saya tidak tahu, yang saya tahu kerajaan tidak ada sebab kerajaan ini ditubuhkan bersama-sama.
“Jadi apabila kita tarik diri, bukan berhenti, bermakna Ketua Menteri pun tidak ada lah,” katanya.
Pada Jumaat lalu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO dan BN menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
Keputusan itu diambil susulan tindakan Hajiji yang melanggar perjanjian persefahaman politik antara BN Sabah dalam pembentukan kerajaan Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu. – MalaysiaGazette