Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan bekas pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergelar ‘Datuk’ dan bendahari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan berjumlah lebih RM11,000, dua tahun lalu.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki masing-masing berusia 47 dan 43 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor antara jam 8.30 hingga 9.30 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, kedua-dua suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan yang berpusat di daerah Johor Bahru, pada penghujung Januari 2021 bagi kerja-kerja pembekalan dalam melaksanakan program rawatan dan pemulihan.

Bagaimanapun kerja-kerja pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.

Katanya, mereka disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 9 pagi ini bagi mendapatkan permohonan reman.-MalaysiaGazette