PUTRAJAYA – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said digesa mengeluarkan kenyataan rasmi situasi sebenar kes SRC International yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Wakil jurucakap pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Datuk Seri Najib Razak, Datuk Hamidah Osman berkata, sehingga kini tiada sebarang ulasan dibuat susulan penyerahan memorandum yang dibuat pada 19 Disember lalu di Parlimen.
“Inilah masanya untuk beliau tampil membetulkan keadaan sebagai seorang yang dipertanggungjawab untuk menjaga undang-undang dan reformasi institusi. Kita dah hantar (memorandum) dua minggu lalu, tetapi kita tak dengar lagi apa komen dia.
“Kita harap hasil daripada hari ini beliau sebagai menteri beri komen secara rasmi sebagai Menteri yang sepatutnya menegakkan undang-undang dan menjelaskan apa situasi sebenar kes Datuk Seri Najib.
“Jangan takut, ini bukan soal parti dan politik. Ini soal seorang individu yang dianiaya dan kemudian dipenjarakan. Siapa jua tak kiralah PM, atau siapa jua, mereka perlu mendapat keadilan yang sebenarnya,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Terdahulu, Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Datuk Seri Najib Razak itu tampil menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai menerima memorandum lima muka surat itu.
Seorang lagi wakil jurucakap, Datuk Lokman Noor Adam ketika membacakan memorandum itu berkata, gabungan berkenaan menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap penahanan yang didakwa tidak sah ke atas bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, mereka percaya hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak sepatutnya menjadi hakim yang mengendalikan kes SRC International kerana mempunyai konflik berkepentingan.
“Satu tindakan drastik dan pantas harus diambil oleh kerajaan bagi memastikan Najib diberikan ruang untuk dibebaskan dan kes SRC ini dibicarakan semula dengan adil tanpa ada sebarang kepincangan dan keraguan,” katanya.
Sebelum ini gabungan tersebut telah menjalankan beberapa gerakan termasuk membuat laporan polis, mengutus surat kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi. – MalaysiaGazette