Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof . Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tingkatan tiga yang parah akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolahnya dalam di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pelajar lelaki berusia 15 tahun itu mengalami cedera parah dan masih dirawat di Hospital Putrajaya.

“Sejak selepas hari kejadian 6 Januari lalu sehingga hari ini mangsa masih belum sedar diri dan pasukan perubatan merawat mangsa.

“Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan parah patah tulang pinggul, patah peha kiri, patah tangan kanan dan rahang patah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, mangsa juga mengalami luka di bahagian dagu dan keretakan pada rahang (multiple skull base fracture).

Katanya, sehingga kini seramai tujuh individu telah dipanggil dan diambil keterangan membabitkan dua orang guru dan lima orang pelajar bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 10 pagi Jumaat lalu, pengadu yang merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah berkenaan yang bergegas ke tempat kejadian itu mendapati  pelajar tersebut  terbaring dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala. – MalaysiaGazette