Tian Chua

KUALA LUMPUR – Tindakan mengumumkan pemecatan lima ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk bekas Naib Presiden PKR Chua Tian Chang di media disifatkan sebagai tidak profesional dan tidak sopan.

Chua Tian Chang yang lebih dikenali sebagai Tian Chua berkata, beliau kesal dengan tindakan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datin Dr Tan Yee Kew.

“Pengerusi Jawatankuasa Disiplin telah memilih untuk mengumumkan pemecatan saya kepada media sebelum menghantar sebarang pemberitahuan kepada saya dan individu-individu lain yang berkenaan.

“Perbuatan yang sangat tidak profesional ini amat dikesali dan tidak sopan,” katanya.

Sebagai aktivis PKR yang menyaksikan kelahiran gerakan dan terlibat berterusan dalam perjuangan selama lebih dua dekad, Tian Chua sedih dan kecewa dengan keputusan yang dibuat.

Katanya, sepanjang perjuangan dengan parti ini, beliau tidak pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti.

“Hati nurani saya bersih. Sejak awal lagi saya bersedia menerima akibat kerana bertanding dalam pilihan raya tanpa restu pucuk pimpinan parti.

“Saya akur bahawa parti perlu menjaga disiplin organisasi. Walau demikian dalam konteks senario pasca PRU15, pihak-pihak yang berlawan telah mengetepikan permusuhan semasa pilihan raya.

“Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” tegas beliau.

Tambah Tian Chua, tindakan keras yang dianggap menerapkan peraturan adalah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik saat ini.

Bagaimanapun tokoh reformasi PKR itu menegaskan beliau mengambil tanggungjawab atas semua tindakan yang dibuat tanpa menyalahkan sesiapa.

“Saya menyertai perjuangan reformasi sejak tahun 1998 hanya dengan tujuan membawa perubahan demokrasi kepada tanahair.

“Hari ini saya bangga melihat usaha bertahun-tahun tidak sia-sia. Saya sedikit pun tidak menyesali setiap minit yang ditabur dalam perjuangan ini,” kata beliau.

Tian Chua berjanji kepada penyokongnya bahawa beliau tidak akan memperlahankan langkah kegiatan untuk melakukan pembaharuan.

Dia juga tidak akan undur dari berjuang untuk membela hak dan kesejahteraan rakyat.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datin Dr Tan Yee Kew memaklumkan  Tian Chua dan empat lagi ahli PKR dipecat selepas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang lalu, tanpa persetujuan parti.

Empat yang dipecat terdiri daripada Puah Chee Haur dari cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (cabang Gopeng), M.Mohganan (cabang Taiping) serta Nur Khairunisa Abdullah (cabang Sadong Jaya). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast