Dr Aman Rabu ketika mengadakan Operasi Bersepadu Premis Makanan (Ops Bersih) Peringkat Negeri Johor yang dijalankan di sekitar Stulang Laut,mendapati tahap sebahagian kebersihan premis makanan di Johor masih kotor.

JOHOR BAHRU – Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu mengakui tahap kebersihan premis perniagaan makanan di negeri ini masih kurang memuaskan.

Ia berdasarkan pemeriksaan dijalankan pihaknya yang mana majoriti premis perniagaan makanan didapati melanggar peraturan kebersihan yang telah ditetapkan.

Antara kesalahan utama yang direkodkan adalah terdapat serangga perosak seperti lipas, lalat dan tikus, tidak mempunyai suntikan tifoid dan tidak memakai pakaian bersesuaian.

“Kami sentiasa melakukan pemeriksaan berkala dan kita mahu memastikan setiap premis diperiksa sekurang-kurangnya sekali setahun, dan yang mana kita dapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan termasuk ditutup.

“Sebenarnya banyak yang gerai makan didapati kotor, jadi saya rasa Jabatan Kesihatan Johor belum berpuas hati dengan tahap kebersihan, khususnya melibatkan premis yang telah diperiksa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Bersepadu Premis Makanan (Ops Bersih) Peringkat Negeri Johor yang dijalankan di sekitar Stulang Laut, di sini.

Sementara itu, Dr. Aman memberitahu, kompaun sebanyak RM67,250 telah dikeluarkan selain mengarahkan agar 15 premis makanan ditutup dan 19 premis dibersihkan.

“Dalam operasi itu kita telah memeriksa sejumlah 113 premis perniagaan khususnya yang mengendalikan makanan, daripada operasi berkenaan sebanyak 130 notis telah dikeluarkan.

“Operasi terbabit dilaksanakan seramai 66 orang pegawai dan anggota Jabatan Kesihatan negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan mendapati kebanyakan premis diperiksa dalam keadaan kotor dengan bahan makanan mentah tidak bertutup dan dihurung lalat.

Selain itu keadaan lantai sesetengah premis juga dilihat berlendir kerana tidak bermop dan tidak bersapu.-MalaysiaGazette

Caption:Dr Aman ketika mengadakan Operasi Bersepadu Premis Makanan (Ops Bersih) Peringkat Negeri Johor yang dijalankan di sekitar Stulang Laut,mendapati tahap sebahagian kebersihan premis makanan di Johor masih kotor.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast