KUALA LUMPUR — Pemenang lima kali Liga Juara-Juara (UCL) Gareth Bale akhirnya bersara pada usia 33 tahun.
Ikon bola sepak Wales itu mengumumkan persaraannya menerusi kenyataan di media sosial pada Isnin.
“Selepas membuat pertimbangan dengan teliti dan bertimbang rasa, saya mengumumkan persaraan serta-merta daripada kelab dan bola sepak antarabangsa.
“Saya berasa sungguh bertuah kerana berjaya merealisasikan impian saya untuk bermain sukan yang saya suka. Detik yang terbaik dalam hidup saya,” kata pemain sayap kiri berbisa itu.
Bale atau nama penuhnya, Gareth Frank Bale memulakan kariernya di England bersama Southampton pada 2006 dan digelar ‘freekick specialist’.
Namun, Bale mula mencipta nama selepas berpindah ke Tottenham Hotspur 2007 sebelum menandatangani kontrak dengan Real Madrid dengan bayaran rekod dunia tertinggi sebanyak 85.1 juta Pound Sterling pada 2013.
Dengan 176 penampilan di Real Madrid sebagai barisan penyerang bersama Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema, Bale berjaya menjulang tiga trofi kejuaraan La Liga di Sepanyol selain lima trofi UCL di kelab sama.
Bale kemudian menandatangani kontrak dengan Los Angeles FC, salah sebuah kelab dalam Major League Soccer (MLS) pada 2022, selepas pinjaman singkat di Tottenham.
Beliau bersara sebagai pemain bola sepak lelaki paling banyak penampilan di Wales dengan sebanyak 111 penampilan dan penjaring terbanyak, iaitu 41 gol.
Bale mengetuai negaranya ke Piala Dunia pertama dalam tempoh 64 tahun di Qatar 2022. Terima kasih, Bale! -MalaysiaGazette