IPOH – Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Sabtu lepas akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di KM22 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifly Mahmood berkata, sebelum itu, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya berusia 46 tahun itu di Balai Polis Kuala Ketil kira-kira 2 petang semalam.

“Rakan-rakan mangsa kemudian mencarinya selain memaklumkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Gerik kira-kira 5.30 petang semalam berhubung penemuan mayat lelaki itu di kawasan kejadian.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX63 bergerak bersendirian dari arah Gerik menghala ke Banjaran Titiwangsa kira-kira 12 tengah hari Sabtu lepas. Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan, terbabas sendiri lalu terjatuh ke bahu jalan dan terperosok ke dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat yang selesai dijalankan pagi tadi dan diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian.

Zulkifly berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.  – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast