PUTRAJAYA – Setakat ini tiada subvarian Covid-19 baharu iaitu ‘Kraken’ atau Omicron XBB.1.5 di Malaysia dikesan di Malaysia.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya terus memantau lanjut varian XBB 1.5 itu kerana ia menjadi varian paling dominan di Amerika Syarikat (AS) sekarang.
Menurutnya, KKM juga akan bekerjasama dengan negara lain bagi melihat dari segi penularan dan keparahan varian baharu itu.
“Kita masih memantau sama ada XBB 1.5 mempunyai kesannya dari segi keparahan dan penularan, setakat ini ia belum dikesan lagi dalam negara,” katanya ketika soal jawab pada sesi Libat Urus Bersama Media di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), XBB.1.5 adalah keturunan subvarian Omicron XBB yang terjadi daripada persilangan antara dua strain terdahulu, BA.2.75 dan BA.2.10.1.
Pakar menggelarkan strain Omicron XBB.1.5 dengan nama ‘Kraken’ yang berpotensi mencetuskan gelombang besar Covid-19.
Pihak WHO juga turut dilapor sedang membuat penilaian risiko strain XBB.1.5.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Nurhyati Rusli memaklumkan, seramai 4,069 pengembara dari China tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) sejak Ahad lalu.
Katanya, setakat ini, tiada kes Covid-19 daripada kesemua pengembara berkenaan malah, tiada sebarang gejala dikesan.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkara itu termasuk melakukan persampelan air kumbahan bagi pesawat yang tiba dari China.
“Saringan dan pemantauan akan sentiasa ditingkatkan bagi mengesan sebarang varian baharu Covid-19,” ujarnya.
Dr. Nurhayati berkata, kementerian juga akan menilai secara dekat perkembangan mutakhir serta bekerjasama rapat dengan negara serantau khususnya negara jiran seperti Thailand dan Singapura serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memperkukuhkan strategi kawalan dan pencegahan penularan. – MalaysiaGazette