Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Seorang anggota tentera dan suri rumah yang mengalami kerugian sehingga RM66,120 selepas terpedata dengan iklan jualan wang lama dan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes pertama membabitkan mangsa berumur 25 tahun yang melakukan 11 transaksi berjumlah RM26,120 kepada 11 akaun berbeza.

Dia diperdaya selepas melayari aplikasi instagram dan melihat iklan pembelian wang lama.

“Mangsa telah berminat dengan tawaran sebanyak AS$30,000 dengan menjual wang RM2 lama miliknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kemudian mangsa telah diminta membuat pembayaran wang pendahuluan terlebih dahulu sebanyak RM 26,120 bagi mengaktifkan akaun antarabangsa.

Dalam kejadian lain pula, seorang wanita warga emas telah berjumpa dengan wakil syarikat pelaburan untuk membuat pelaburan emas yang dijanjikan pulangan modal dalam masa 30 hari dan 60 hari dalam bentuk keuntungan dividen serta dinar emas.

Mangsa, 63, telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM40,000 kepada wakil syarikat pelaburan bagi tujuan tersebut.

Namun mangsa belum menerima sebarang pulangan daripada syarikat tersebut sehingga hari ini,

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan mana-mana sindiket penipuan pelaburan dan penjualan wang lama.

Orang juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.mp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette