Zainal Abu

MELAKA – Pemaju sebuah projek pangsapuri di Tengkera di sini akan diarahkan membayar pampasan setimpal kepada penduduk Kampung Tengkera Pantai 1 dan 2 di sini jika terdapat bukti keretakan rumah berpunca daripada projek terbabit.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, pihaknya bagaimanapun perlu melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan penduduk itu yang baharu diketahuinya hari ini.

Menurutnya, siasatan akan bermula dengan menyemak semula dokumen kelulusan projek pada 2019 itu untuk meneliti dari segi pelan merancang, bangunan, kerja tanah dan sebagainya.

“Petang ini saya akan panggil semua pihak berkaitan untuk bermesyuarat bagi mendapatkan laporan terperinci kes ini yang baru saya ketahui hari ini.

“Jadi kalau penduduk dakwa isu ini sudah berlarutan sejak tiga atau empat tahun lalu, itu saya kena dapatkan maklumat daripada pegawai apakah benar keretakan rumah penduduk berpunca daripada aktiviti pemaju atau mungkin ada sebab lain pergerakan tanah di kawasan parit dan sebagainya.

“Tentulah penduduk terlibat akan dapat pampasan daripada pemaju sekiranya terbukti kerosakan itu berpunca daripada mereka, tapi ini perlu melalui proses siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mansor Ayed menunjukkan keretakan pada dinding rumahnya yang didakwa berpunca daripada projek pangsapuri di belakang rumahnya di Kampung Tengkera Pantai, Melaka sejak empat tahun lalu.

Mengulas lanjut Zainal berkata, adalah menjadi kebiasaan amalan mana-mana projek pembangunan MBMB meletakkan beberapa syarat pembangunan yang wajib dipatuhi.

“Ia termasuklah syarat berhubung kerja-kerja penanaman cerucuk sama ada ia dibuat menggunakan adalah injection pile, tekanan, bored piles iaitu korek dahulu baru dikonkrit atau driven pile melibatkan kaedah tukul besi.

“Kita nak siasat kaedah apa yang pemaju gunakan untuk membina cerucuk sama ada tekanan, mengorek dahulu baru dikonkrit ataupun paling kita tidak mahu adalah driven pile yang guna penukul besi.

“Ini yang kita kena tengok apa yang membuatkan rumah itu retak kerana yang menjadi masalahnya adalah dulu memang pakai kaedah driven pile tapi kita kena siasat dulu dan proses ini rumit perlu sedikit masa,” katanya. – MalaysiaGazette.

Empat tahun gadai nyawa diami rumah retak