Mansor Ayed menunjukkan keretakan pada dinding rumahnya yang didakwa berpunca daripada projek pangsapuri di belakang rumahnya di Kampung Tengkera Pantai, Melaka sejak empat tahun lalu.

MELAKA – Lebih 300 penduduk di Kampung Tengkera Pantai 1 dan 2 di sini ibarat bergadai nyawa saban hari apabila terpaksa mendiami rumah yang retak sejak empat tahun lalu.

Menurut mereka, episod hitam itu bermula pada 2019 yang didakwa berpunca daripada pembinaan empat blok pangsapuri yang hanya dipisahkan sebatang longkang di belakang rumah mereka.

Salah seorang penduduk, Mansor Ayed, 65, kehidupan kira-kira hampir 50 buah rumah penduduk di dua kampung berusia 100 tahun itu sebelum ini aman tanpa gangguan namun dihimpit pelbagai masalah kesan pembangunan itu sejak empat tahun lalu.

Mansor Ayed

“Ia bermula dengan pencemaran bunyi dan habuk yang terpaksa ditanggung penduduk kampung sehinggalah lama kelamaan berlaku keretakan pada lantai dan dinding rumah sedikit demi sedikit.

“Sejak itu, pelbagai aduan telah dibuat kepada pemaju, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta laporan polis namun sehingga kini setelah empat tahun tiada keputusan dapat dicapai untuk menyelesaikan isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Akibat kejadian itu, katanya, rumah dua tingkat yang didiami lapan sekeluarga mengalami keretakan serius pada bahagian lantai dan dinding dapur serta bilik melibatkan kos baik pulih bernilai lebih RM230,0000.

“Baru-baru ini, pemaju ada ada cadangkan untuk bayar pampasan kepada saya sebanyak RM90,000 sahaja, namun saya menganggap jumlah itu tidak setimpal dengan kos sebenar baik pulih lebih RM200,000,” katanya.

Zabariah Baba

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati berlaku keretakan di bahagian dinding dan lantai beberapa rumah penduduk sehingga 2.5 sentimeter lebar, malah ada diantaranya bocor kerana berlaku pergerakan tanah pada struktur bangunan.

Pesara guru, Zabariah Baba, 60, turut berkongsi masalah sama dan menggesa pihak pemaju bertanggungjawab terhadap semua masalah yang dihadapi penduduk.

“Ingatkan dulu kami cuma terpaksa hidu udara kotor akibat debu daripada projek dan bunyi bising siang dan malam sahaja, tapi rupanya masalah lebih besar apabila rumah semakin retak.

“Malah rumah kayu asal di tapak kampung berusia 100 tahun yang saya warisi daripada arwah datuk juga sudah tidak boleh didiami kerana semakin senget akibat pergerakan tanah kesan projek,” katanya.

Harun Ali

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tengkera, Harun Ali berkata, pihaknya telah membuat lebih 10 aduan sebelum ini namun gagal menemui jalan penyelesaian.

“Sebenarnya, kalau diikutkan kami juga terkejut apabila mendapati jarak projek ini terlalu hampir dengan rumah sedangkan sebelum ini jaraknya dikatakan jauh sedikit.

“Kita akan berbincang dengan pemaju dan agendi berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian dan berharap kerajaan perpaduan dapat membantu menangani masalah ini segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast